• Utama
  • PUSAT MEDIA
  • Arkib
  • Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Disambut Meriah

Hari Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Disambut Meriah

IPOH: Lebih 5,000 warga Perak menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2016 yang diadakan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh pada Rabu dalam suasana penuh meriah dan semangat patriotik.

 

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah mencemar duli berangkat ke majlis yang penuh bermakna itu.

 
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

 
Turut hadir di majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abd Puhat Mat Nayan, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

 
Sultan Nazrin berkenan melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan  yang terdiri daripada tiga pegawai dan 140 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division yang berpengkalan di Kem Sagro, Taiping.

 
Kawalan Kehormatan Utama diketuai oleh Mejar Mohd Salim Mohamad dan Pegawai Waren 1, Amir Zaman Khan Rahmatullah Khan selaku Sarjen Mejar Perbarisan sementara pegawai pembawa panji-panji diketuai Leftenan Rawi Isa.

 

 

Acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2016 yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat patriotik itu kemudian dimulakan  dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Negeri Perak, Sohibul Fadhilah Ustaz Haji Abd Farid Haji Salleh.

 
Majlis kemudian disusuli dengan  nyanyian lagu Negaraku, upacara menaikkan Jalur  Gemilang dan Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan yang disampaikan oleh 17 orang pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun yang diketuai oleh Sarjan Pasukan Kader Bersatu, Malaysia Darat, Mohammad Haziq Mohd Anuar Zamani.

 
Acara sambutan turut diserikan dengan persembahan koir daripada gabungan tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Main Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent Ipoh.

 
Kumpulan koir sekolah-sekolah tersebut menyampaikan tiga buah lau iaitu Sehati Sejiwa yang merupakan lagu tema Hari Kebangsaan 2016, Nyalakan Tekad dan Jalur Gemilang.

Acara sambutan kemudian diteruskan dengan perarakan 116 kontinjen yang terdiri daripada 74 kontinjen kawad yang disertai oleh jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah IPTA, IPTS, Sekolah, PBT, Badan Berkanun dan Swasta.

Acara sambutan Hari Kebangsaan 2016 itu berakhir dengan perarakan kenderaan Angkatan Tentera Malaysia.

 

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.