Selesai Masalah RM60 Bilion Aset Umat Islam Tidak Produktif - Sultan Perak

Selesai masalah RM60 bilion aset umat Islam tidak produktif - Sultan Perak
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berucap pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua dan Anggota-anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Penyerahan Zakat di Kompleks Islam Darul Ridzuan hari ini.

 
IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengambil langkah aktif membantu menyelesaikan masalah RM60 bilion nilai aset umat Islam di negara ini yang tidak produktif.

Titah Sultan Perak, usaha itu juga boleh membantu menghindarkan masalah tersebut daripada terus membesar.

Baginda bertitah, harta dan kekayaan milik umat Islam di negara ini berada di tahap yang lebih rendah, berbanding yang dimiliki bukan Islam.

“Dianggarkan RM60 bilion nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut, serta aset yang beku, disebabkan masalah faraid, setelah berlakunya kematian pemilik aset,” titah baginda.
 
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli MAIPk, Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini, pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Mufti Negeri Tan Sri Harussani Zakaria dan Yang Di Pertua MAIPk Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Sultan Nazrin bertitah, MAIPk bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama seluruh masjid dan surau, pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta pelbagai saluran media, hendaklah menganjurkan secara besar-besaran program mendidik umat Islam melakukan hibah.

Titah baginda, taklimat mengenai hibah hendaklah dianjurkan secara berjadual dan menyeluruh di seluruh negeri.

Dalam pada itu, baginda menitahkan supaya MAIPk memperkenalkan modul bantuan lebih inovatif, yang berupaya memberi impak berkesan, sekaligus mengeluarkan asnaf fakir miskin daripada kepompong kemiskinan.

“Hendaklah dijadikan matlamat, semoga pada kemudiannya nanti, para penerima ditransformasikan, beralih status daripada seorang penerima kepada seorang pembayar zakat,” tambah baginda.

Baginda bertitah, MAIPk telah memperlihatkan prestasi pencapaian program zakat yang cemerlang dengan kutipan RM57 juta pada 2008, meningkat kepada RM167 juta pada 2017, atau purata pertumbuhan 11 peratus setahun.




 
 
 

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.