Kerajaan Negeri Perak Seragamkan Kupon Parkir Semua Daerah





IPOH: Bagi memudahkan urusan meletakkan kenderaan, Kerajaan Perak hari ini mengumumkan penyeragaman kupon parkir bagi seluruh negeri bermula 1 Januari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Yong Choo Kiong berkata, walaupun orang ramai telah membeli kupon parkir yang lama, namun ianya masih boleh digunapakai pada tahun hadapan.

Katanya, kadar bayaran parkir akan dikekalkan dan diseragamkan di setiap 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menyentuh tentang isu parkir, kerajaan negeri juga hari ini menawarkan diskaun bayaran kompaun kesalahan meletak kereta sebanyak 70 peratus, di seluruh negeri, selama sebulan bermula 28 Jun ini.

“Kita tidak akan menghapuskan kompaun tersebut kerana ianya bakal menjejaskan sistem pentadbiran negeri. Orang ramai juga berkemungkinan tidak akan mematuhi undang-undang kerana kompaun telah dihapuskan,” katanya dalam satu sidang media di Bangun Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.




Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri kini sedang mengkaji pemberian diskaun khas cukai pintu kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar dan yang menetap di dalam rumah-rumah kos rendah.

Pada masa sama, Choo Kiong turut mengumumkan penurunan cukai papan iklan bagi premis-premis perniagaan seluruh daerah sebanyak 50 peratus.

Jelasnya, kadar cukai yang mencecah sekitar RM8,000 ke RM20,000 setiap tahun itu cukup membebankan para peniaga tempatan.

Dalam pada itu, untuk memudahkan urusan orang ramai dengan pihak PBT, setiap kaunter informasi di seluruh daerah akan diletakkan tiga orang petugas dari kalangan kaum Melayu, Cina dan India.

Bagi merapatkan lagi jurang diantara kedua-dua pihak terbabit, kerajaan negeri mewajibkan kesemua 15 Ahli Majlis PBT untuk mengadakan turun padang dan mempergiatkan lagi hari bertemu pelanggan setiap bulan, sepanjang tahun.


 

 

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.